COVID-19: PM ajak rakyat terus cekal, bersemangat

Loading...
Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin dugaan disebabkan wabak COVID-19 bukan sesuatu yang tidak dapat ditanggung oleh semua rakyat.
Memetik ayat al-Quran yang menyatakan bahawa Allah tidak akan membebani manusia dengan ujian yang tidak mampu ditanggung, Perdana Menteri meminta semua rakyat supaya terus cekal, kuat, bersemangat dan yakin untuk mengatasi dugaan wabak itu bersama-sama.
"Kepada semua rakyat Malaysia, marilah bersama-sama terus berdaya tahan, mampu secara individu dan kuat secara kolektif untuk berdepan keadaan yang tidak menentu ini.
"Marilah kita bersama-sama kekal komited melawan COVID-19. Patuhlah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya faham ia sukar tetapi ia bukan sesuatu yang tidak mungkin.
"Inilah pengorbanan yang harus kita lakukan untuk memenangi peperangan dengan virus maut ini. Kita harus menang dengan cara duduk di rumah bersama keluarga," katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) Tambahan hari ini.
Muhyiddin berkata, beliau sedar rakyat terbeban kerana terpaksa berkurung di rumah sepanjang tempoh PKP kerana terhalang daripada melakukan aktiviti yang biasa dibuat.
"Saya lihat di media sosial, ada suami yang mula memakai ‘baju kelawar’ isteri. Ada yang mengayuh basikal dalam rumah. Ada juga yang mengubah ucapan saya menjadi lagu rap.
“Saya harap ini bukanlah kejadian pelik atau ‘buang tabiat’ kata orang. Ini adalah sebahagian daripada kreativiti anda semua untuk menghilangkan rasa bosan duduk di rumah.
"Yang penting saya fikir saudara-saudari mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi dugaan dan ujian. Saya yakin Tuhan tidak akan menguji atau membebani hambanya dengan sesuatu yang tidak boleh ditanggung," katanya.
Kabinet Malaysia 2020

Loading...

0 Response to "COVID-19: PM ajak rakyat terus cekal, bersemangat"

Posting Komentar

Loading...